24 February 2012

Home » » Lelaki Maut Diseret Treler

Lelaki Maut Diseret Treler

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 141.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran susur keluar Hentian Rawar & Rehat (R&R) Juru, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.15 pagi itu, Goh Yeong Neng, 26, yang parah di kepala dan badan disahkan meninggal dunia ketika dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ).


Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Superintendan S Manogaran berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Butterworth selepas berhenti rehat di Autocity, di sini.

Menurutnya, mangsa yang belum berkahwin itu dikatakan memandu seorang diri dari Ipoh, Perak sebelum berhenti minum di kawasan Autocity sebelum meneruskan perjalanannya.


Katanya, setibanya di lokasi dipercayai mangsa gagal mengelak apabila sebuah treler yang membawa muatan besi berada di lorong kiri lebuh raya.

“Mangsa yang memandu kenderaan Ford Ranger gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang treler terbabit sebelum diseret sejauh 80 meter,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang tersepit dalam kenderaan masih lagi bernyawa sebelum dikeluarkan dan dikejarkan ke hospital, tetapi meninggal dunia tidak lama kemudian. Manogaran berkata, kemalangan berkenaan juga menyebabkan kenderaan mangsa dan sebahagian belakang treler turut terbakar.

Katanya, pemandu treler yang berusia 30-an itu tidak mengalami kecederaan. “Kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.



SUMBER: mymetro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers